RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Adele Nyanyikan Lagu James Bond 23

Posted: 05 Sep 2011 09:37 PM PDT

Adele

PRESTASI penyanyi yang semakin meningkat popular, Adele menerusi dua albumnya iaitu 19 dan 21 ternyata semakin membanggakan dengan keunikan suaranya yang tersendiri.

Justeru itu, Adele diberi penghormatan untuk menyanyikan runut bunyi (soundtrack) filem James Bond 23 yang akan memulakan penggambarannya tidak lama lagi.

Penyanyi kelahiran North London, England itu berkata dia akan mula sibuk di studio rakaman bermula pada November depan.

"Saya akan kembali sibuk di studio rakaman pada November ini. Doakan saya yang terbaik dalam merakamkan lagu tersebut. Inilah kali pertama saya membawakan lagu runut bunyi daripada filem ejen perisikan.

"Saya hanya membawakan sebuah lagu sahaja bagi filem tersebut. Alamak, nampaknya saya telah membocorkan rahsia produksi filem itu," selorohnya pada program temu bual bersama pengacara Jonathan Ross.

Madonna Bakal Muncul Dengan Album Baru

Posted: 05 Sep 2011 09:36 PM PDT

Madonna ketika menghadiri Festival Filem Venice baru-baru ini.

SELEPAS mendapat kritikan hebat terhadap filem pertama arahannya, "W.E" di Festival Filem Venice baru-baru ini, Madonna akhirnya bakal kembali ke studio untuk merakamkan album terbaru.

Dalam satu temu bual di Sweden, penyanyi yang popular dengan lagu "Material Girl" itu memberitahu album terbarunya itu akan dilancarkan pada tahun hadapan.

Menurut Madonna, 53, dia telah melakukan beberapa proses pembikinan album tersebut dan akan memberikan tumpuan sepenuhnya selepas promosi filem "W.E" berakhir.

Katanya, dia teruja dengan pembikinan album tersebut selepas hampir empat tahun tidak muncul dengan album baru.

Madonna turut memberitahu "single" pertama album itu akan dilancarkan sekitar Februari atau Mac tahun hadapan.

"Hard Candy" adalah album terakhir Madonna yang dilancarkan pada tahun 2008 dan berjaya menduduki tempat pertama carta Billboard pada minggu pertama ia dilancarkan.

Ini juga adalah album pertamanya selepas meninggalkan syarikat rakaman Warner Bros.

Eddie Murphy Jadi Pengacara Anugerah Oscar?

Posted: 05 Sep 2011 09:35 PM PDT

Eddie Murphy

PELAKON dan pelawak terkenal, Eddie Murphy dikhabarkan akan memikul tanggungjawab sebagai pengacara Anugerah Oscar kali ke-84 tahun ini menurut laporan Los Angeles Times.

Khabar angin itu bertambah kuat apabila penerbit anugerah itu, Brett Ratner dikatakan mahu Murphy sebagai calon utama mengacarakan acara gemilang itu tahun ini.

Pemilihan itu juga dikatakan atas dasar hubungan baik antara Ratner dan Murphy yang baru selesai menjalani penggambaran filem aksi berjudul "Tower Heist" bersama Ben Stiller diarahkan oleh Ratner.

Walaupun pihak pengurusan anugerah masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan, Ratner dan Don Mischer dikatakan telah berjumpa dengan Presiden Akademi, Tom Sherak dipercayai bagi membincangkan mengenai hal tersebut.

Dalam pada itu, pelawak Billy Crystal dilaporkan turut berminat untuk memikul tugas tersebut.

Sama-sama bersederhana sambut Aidilfitri

Posted: 05 Sep 2011 07:03 PM PDT

SALING PERCAYA...Iqram dan Fouziah tidak mahu peminat salah anggap keakraban mereka.
SALING PERCAYA...Iqram dan Fouziah tidak mahu peminat salah anggap keakraban mereka.

USAH menerjah dua bintang muda ini dengan persoalan yang sama. Mempertikai hubungan yang sudah berkali-kali dijelaskan. Baik Iqram Dinzly mahupun si jelita, Fouziah Gous masing-masing sepakat menyuarakan hubungan yang sering menjadi teka-teki kepada sesiapa yang memerhati keakraban mereka sebenarnya tidak lebih daripada sekadar sahabat.

Jelas mereka, sahabat itu jauh lebih ikhlas dan jujur. Pada waktu sama, ia sentiasa diikat dengan kepercayaan. Meskipun tanpa ikatan cinta atau rasa kasih yang mampu membawa ke gerbang perkahwinan, dua dramatis popular ini masih mampu akrab dan berkongsi masalah mahupun cerita.

  • Foto

    MANIS...dua sahabat yang meraikan Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan.

  • Foto

    MANIS...dua sahabat yang meraikan Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan.

Pertemuan sekali lagi membawa kepada cerita menarik yang ingin disembangkan Iqram mahupun Fouziah. Bergaya sakan dengan persalinan Melayu yang menyerlahkan kejelitaan dan wajah kacak si pemakai, sesi fotografi khas sempena Syawal berjalan lancar, lebih-lebih lagi keserasian yang ada antara mereka membuatkan segala kisah menarik dan kenangan Aidilfitri mengalir sendiri tanpa perlu ditanya.

Iqram umpamanya yang begitu sibuk berkejar-kejar ke lokasi penggambaran dan menguruskan perniagaan kecil-kecilan menjual sambal ikan bilis, Iqram Bilis DinzlyCious menyifatkan Aidilfitri kali ini begitu lengkap kerana berjaya mengejar sasaran yang pernah ditetapkan sendiri.


Merentas tahun keenam menyambut Syawal dengan status sebagai selebriti, anak jati Ipoh, Perak yang pernah popular menerusi lakonan bersahaja dalam drama Na O Mei dan Dunia Baru pertama kali merasai kepuasan yang berbeza.


"Alhamdulillah tahun ini saya berjaya merealisasikan apa yang pernah saya impikan sebelumnya. Sepanjang Ramadan, saya berjaya menyiapkan drama siri Dewa Cinta dan terus berlari ke lokasi penggambaran telefilem Kalau Ada Jodoh bersama Fouziah juga Zahiril Adzim. Lebih menariknya, saya juga berkesempatan mengikuti program televisyen Singgah Sahur di Kuching dan Johor Bahru yang sudahpun disiarkan sebelum ini di TV3.

"Walaupun sibuk dengan perniagaan, jadual seni yang padat, saya berjaya juga mencuri masa untuk memenuhi semua undangan. Ia memang memberi satu kepuasan kepada saya meskipun perlu diakui rasa penat yang teramat kerana tidak punya masa yang cukup untuk berehat," katanya yang bakal muncul dengan drama Keimanan Cinta tayangan TV9 sejurus selepas raya ini.

Menambah mengenai sambutan awal Syawal, anak muda berusia 30 tahun ini berkata, segalanya disambut secara sederhana malah dia tidak membuat sebarang tempahan untuk persalinan raya. Apa yang dipentingkan anak ketiga daripada empat beradik ini ialah memberi fokus kepada keluarganya terlebih dulu.

"Saya ingin sederhana saja tahun ini dan tidak mahu terlalu ikutkan keinginan.
Saya puas dengan persalinan jubah putih yang digayakan pada hari raya pertama.
Selebihnya biar keluarga yang tentukan kerana mereka lebih pakar dalam soal ini.

"Saya sempat juga menukar cat baru untuk rumah keluarga di Ipoh dan membeli serba sedikit barangan untuk kelengkapan keluarga. Saya dan abang yang juga Ketua Pemuda Umno cawangan Jelapang mengadakan rumah terbuka pada minggu pertama raya. Hati turut gembira kerana ramai keluarga terdekat dan sahabat-handai datang.

"Sepanjang Aidilfitri ini, Saya rasa bertuah kerana semua keluarga berada di Ipoh. Jadi saya bersama keluarga tidak perlu jalan jauh bagi menziarahi sanak-saudara. Lagipun setiap tahun memang rumah saya jadi tumpuan orang datang beraya hingga kami sekeluarga sendiri tidak berpeluang keluar rumah. Namun itulah keseronokan pada hari raya.

"Sebenarnya tahun ini saya berhasrat ingin berpuasa enam dan sebab itu juga saya ingin menghabiskan lebih masa berada di rumah keluarga untuk berpeluang berpuasa bersama," katanya yang tidak sabar untuk digandingkan dengan pelakon handalan, Deanna Yusoff dalam drama tayangan Astro Prima selepas raya nanti.

Mendengar cerita Iqram, Fouziah di sebelah hanya mengukir senyuman. Namun sebaik dilontarkan persoalan sama, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini punya cerita yang berbeza. Gadis yang tidak lekang senyuman juga kacukan Melayu, Pakistan dan Cina ini hanya menyatakan perasaan rindunya menyambut Ramadan di Tanah Suci. Oleh kerana kesibukan sepanjang puasa lalu, hasrat itu terpaksa dilupakan.

"Ada kalanya perasaan itu terbit dan rasa rugi juga kerana tidak awal menempah tempat ke sana. Jujurnya perasaan menyambut puasa di sana sukar diterjemah dengan kata-kata kerana suasananya sangat berbeza. Namun keindahan dan kemeriahan berpuasa serta beribadat itu benar-benar mengundang rasa ingin kembali meraikannya.

"Insya-Allah jika ada rezeki, saya akan ke sana cuma tahun ini saya sudah terikat dengan beberapa komitmen lain dalam kerjaya," katanya yang baru pulang daripada mengerjakan umrah tiga bulan lalu ketika menjalani penggambaran drama rantaian Tahajjud Cinta.

Seperti rakan baiknya Iqram, kata Fouziah yang sibuk menghabiskan baki babaknya dalam projek khas penghargaan buat Tan Sri P Ramlee, Kalau Ada Jodoh, dia menyambut Aidilfitri secara ringkas dan lebih sederhana.

"Saya dan keluarga beraya di Kuala Lumpur saja dan pada raya kedua kami sekeluarga berkunjung di rumah keluarga kakak ipar di Pekan, Pahang. Memang tahun ini saya tidak berbelanja besar kerana ingin lebih berjimat dan meletak fokus pada kerja kebajikan saja. Saya memang berhasrat ingin memberi sumbangan dan bantuan kepada pihak yang memerlukan dan saya fikirkan itulah jalan terbaik untuk kita berbuat kebajikan.

"Insya-Allah jika ada rezeki, saya akan mengadakan rumah terbuka namun semua itu belum diputuskan memandangkan jadual kerja yang padat. Mana tidaknya, saya akan terus kembali ke lokasi penggambaran drama Manisnya Madu Pahitnya Hempedu arahan Erma Fatima yang masih belum selesai sebelum mula membuka skrip Trilogi Cinta musim kedua hujung tahun ini," katanya tersenyum.



PROFIL FOUZIAH GOUS:

Nama penuh: Nor Fouziah Mohd Gous
Tarikh lahir: 11 Disember 1982
Umur: 29 Tahun
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Bongsu daripada lima beradik
Kerjaya: Model dan pelakon
Pendidikan: Diploma Kesetiausahaan Kolej Systematic

Filem: Bujang Senang, Malaikat Maut, Skrip 7707, Otai, Rasukan Ablasa, Sifu & Tongga, Dua Hati Satu Jiwa, Ratu The Movie, Rasuk dan Hantu Bukit Cina

Drama: Sangga Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Enigma, Kain Ketat Isabella, Sutera Maya, Kasihmu Di Bulan Ramadan, Puisi Untuk Anis, Kepulangan, Bicara Dari Tuhan, Cinta Selat Tebrau, Spa Q, Trilogi Cinta, Kala Terbit Cinta dan Tahajud Cinta

Iklan: Adabi, Homesoy, Kentucky Fried Chicken (KFC), Fab dan Munchies
Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) pada Anugerah Skrin 2007



PROFIL IQRAM DINZLY:

Nama penuh: Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin
Tarikh lahir: 29 September 1981
Umur: 30 tahun
Tempat lahir: Ipoh, Perak
Keluarga: Anak ketiga daripada empat beradik
Kerjaya: Model, pelakon dan pengacara
Pendidikan: Diploma Seni Persembahan, Universiti Teknologi MarA (UiTM)

Filem: Apokalips, Rasuk, 2 Hati 1 Jiwa, Sifu & Tongga, Evolusi KL Drift dan Dunia Baru The Movie

Drama: Mentari Jingga, Mat Burger, Janji Diana, Bukan Yang Pertama, Dua Hati, Cinta Medik, Din atau Dina, Enigma, Bella, Asmaradana, Wangian Firdausi, Ayoub, Dewa Cinta, Kasih Alia, Keimanan Cinta, Laila Manja, Na O Mei, Dunia Baru, Ayah, Graduan, Izinku Pergi, Cinta Bulan dan Mentari, Bella, Memoir Seorang Lelaki, Rempit vs Impak Maksima The Series, La Dolce Amira, Puteri Aurora Beradu, Novelis Babysitter dan Asmaradana.

Suki yang baru

Posted: 05 Sep 2011 07:00 PM PDT

Suki
Suki
Kritikan mematangkan diri

BANYAK perubahan yang dapat dikesan dalam diri gadis berusia 21 tahun ini. Rambut yang dulunya melepasi bahu kini dipotong pendek. Terserlah kedewasaan pemenang sulung pertandingan program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama ini.
Namun bukan saja perubahan dari segi fizikal yang mengejutkan, tetapi juga sifat dan keperibadiannya yang bukan lagi seperti pada awal kemunculannya dulu.
Si pemilik nama penuh Low Sook Yee atau lebih dikenali dengan nama Suki kini bukan lagi gadis yang dikenali empat tahun dulu. Jika sebelum ini namanya sering dikaitkan dengan kontroversi, apabila dikecam dan dikritik sesetengah pihak gara-gara sikapnya yang tidak disenangi ramai, kini keperibadian gadis ini berputar 180 darjah.

Ibarat pepatah lama, sekali air bah, sekali pantai berubah. Jika sampai masanya, kita takkan terus berada di takuk lama. Begitulah juga yang berlaku kepada Suki, apabila pengalaman masa lalu semakin mematangkan dirinya.

"Saya akui, dulu saya banyak melukakan hati orang lain dengan sikap saya. Sana-sini saya dikecam dan saya sedar memang ramai media tak puas hati atau kurang senang dengan perangai saya. Susah nak jawab panggilan, berbaring ketika ditemubual, dan macam-macam lagi perbuatan saya yang tidak disenangi mereka.

"Lagipun waktu itu, saya masih remaja dan saya tak nafikan mengalami kejutan budaya kerana mengecap populariti secara tiba-tiba. Disebabkan itulah saya sedikit tenggelam dengan kemasyhuran menyebabkan saya tak pernah ambil kisah apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan oleh artis seperti saya," kata Suki ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hip di Centrio, Pantai Hill Park di ibu negara.
Walaupun kontroversi yang dilaluinya itu memang mengguris perasaan, namun tegas Suki, dia tidak pernah menyesal atas denai perjalanan yang ditakdirkan untuknya itu.

"Walaupun saya tahu ramai yang tak senang dengan saya, tapi saya tidak pernah menyesal. Apa yang berlaku pada saya sebelum ini, saya anggap sebagai pengalaman yang mendewasakan. Tanpa peristiwa itu, saya tak mungkin akan menjadi seperti sekarang," katanya.

Antara sebab lain yang membuat Suki membuang jauh semua aura negatif dalam dirinya adalah kerana ada seseorang yang banyak memandu dirinya ke arah kebaikan.

Tanpa berselindung, penyanyi yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini mengakui dia memang sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang yang lebih berusia daripadanya.

"Dia seorang ahli perniagaan dan lapan tahun lebih tua daripada saya. Kami memang sudah lama berkawan dan saya sendiri seronok berkawan dengannya. Selain sudah stabil dengan kehidupannya, dia juga seorang yang matang. Kematangannya itulah yang banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar.

"Dia juga sering berada di sisi saat saya memerlukannya. Itulah yang membuat kami rapat. Bagaimanapun, kami masih belum memikirkan soal perkahwinan kerana banyak lagi perkara yang saya harus kejar. Lagipun kerjaya nyanyian saya baru hendak bermula, jadi buat masa ini biarlah kami berdua berkawan saja," luah Suki jujur.

Rakam semula lagu nyanyian Alyah

SETAHUN selepas kemenangannya dalam OIAM, Suki menghasilkan album pertama yang berjudul Finally Akhirnya. Selepas itu, nama Suki seakan-akan lenyap dalam persada seni. Apakah kehilangannya itu disebabkan merajuk? Atau ada projek yang tidak mahu dihebahkan.

Menjawab persoalan itu, Suki berkata dia tidak pernah menghilangkan diri. Sebaliknya, dia melebarkan lagi sayap kerjaya seninya di negara Taiwan dalam bidang nyanyian dan juga lakonan.

"Pada 2009, saya ke Taiwan untuk menghasilkan album yang berjudul Ladies' Night. Enam bulan di sana dan enam bulan lagi di Malaysia. Selain menghasilkan album, saya juga berlakon dalam drama bersiri berjudul The Gift, di sana. Bila berada di negara orang lain, barulah saya rasa rindu pada Malaysia dan juga pada keluarga.

"Sewaktu terbabit dalam penggambaran drama itu, saya bersendirian di sana. Waktu itu, memang rasa sedih sangat. Justeru, apabila semuanya selesai, saya rasa tak sabar kembali ke Malaysia dan tumpukan perhatian terhadap kerjaya nyanyian di sini pula," cerita Suki lagi.

Atas hasrat untuk mengembalikan semula ingatan peminat terhadap dirinya, dalam diam Suki dalam proses menghasilkan sebuah album penuh yang turut menyaksikan dia bekerjasama dengan komposer dari Indonesia.

"Ada 10 lagu dalam album itu nanti. Lapan daripadanya lagu Melayu. Mungkin album ini berada di pasaran awal tahun depan. Antara lagu yang sudah pun dirakamkan ialah Aura, Untuk Kamu serta single pertama saya yang berjudul Terlalu Mencintaimu.

"Lagu Terlalu Mencintaimu itu pernah dirakamkan oleh Alyah dengan menggunakan tajuk Pusara Kasih. Bagaimanapun, disebabkan ada masalah dan lagu itu terperap begitu saja, ia kemudian diberi nafas baru dan diubah lirik serta judulnya," cerita Suki mendedahkan rahsia di sebalik lagu ciptaan Ajai itu.

Dengan kemunculan single itu, Suki menaruh harapan semoga sinar kejayaan masih ada untuknya.

"Saya mahu lupakan semua kontroversi lalu dan apa yang saya harapkan sekarang ialah sokongan peminat. Saya masih mahu menyanyi dan inilah saja kerja yang saya tahu untuk mencari rezeki. Saya tak mahu sia-siakan lagi peluang yang mendatang," tegas Suki serius.

Wanita ‘kerjakan’ anu kekasih

Posted: 05 Sep 2011 06:58 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang melecur di perut dan kemaluannya selepas disimbah air panas oleh teman wanita terpaksa berlari bogel lebih lima kilometer (km) bagi mendapatkan bantuan di Balai Polis Kota Damansara, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi di sebuah hotel di Jalan PJU5, Kota Damansara di sini, mangsa yang berusia lewat 20-an, diserang teman wanitanya berusia 24 tahun selepas berlaku pertengkaran apabila mangsa mahu menamatkan perhubungan.

Menurut sumber, sebelum kejadian pasangan terbabit dilaporkan bertengkar selepas mendaftar masuk ke hotel itu kira-kira jam 11 malam, Sabtu lalu.

"Suspek meninggalkan hotel itu dan pulang ke rumah dalam keadaan marah apabila mangsa mahu memutuskan hubungan dengannya.


"Bagaimanapun, wanita itu datang semula ke hotel berkenaan kira-kira jam 8 pagi kelmarin (Ahad) dengan membawa beg pakaian mengandungi pelbagai senjata iaitu tiga pisau, tukul besi, dua gunting, seketul bata dan rantai besi dipercayai mahu digunakan untuk menyerang teman lelakinya," katanya.

Leher lebam ditekan kayu

Posted: 05 Sep 2011 06:57 PM PDT

LAPOR...Maya menunjukkan laporan polis yang dibuatnya, kelmarin.
LAPOR...Maya menunjukkan laporan polis yang dibuatnya, kelmarin.
LEBAM...keadaan badan mangsa yang dipukul.
LEBAM...keadaan badan mangsa yang dipukul.

AMPANG: Gara-gara ingin meleraikan pergaduhan akibat perselisihan faham kerana seorang remaja lelaki bermain mercun di kawasan perumahannya, seorang wanita menanggung kesakitan dan lebam di leher serta belakang badan akibat dipukul menggunakan kayu oleh seorang wanita yang juga jirannya di Taman Kencana, di sini, kelmarin.

Mangsa, Maya, 26, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, dia berada di dalam rumah apabila terdengar kekecohan seperti orang bertengkar di luar.


Dia meninjau apa yang berlaku sebelum mendapati kira-kira enam orang yang juga jirannya mengepung seorang remaja lelaki kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan remaja terbabit bermain mercun berhampiran rumah mereka.

"Sebaik mendekati mereka, saya mendapati seorang remaja lelaki yang juga kenalan anak tiri saya dikepung jirannya itu kerana tidak berpuas hati dengannya yang bermain mercun.


"Remaja terbabit datang ke rumah jiran saya untuk memohon maaf kerana bermain mercun, tetapi ahli keluarganya tidak berpuas hati," katanya.


Beliau berkata, dia cuba menenangkan suami jirannya itu yang masih tidak berpuas hati dengan remaja terbabit, tetapi tindakannya tidak disenangi.

"Saya yang ditemani suami berunding dengan suami jiran itu dan berharap pertengkaran diselesaikan cara baik selain menerima maaf remaja terbabit, tetapi dia mengugut supaya saya tidak masuk campur.


"Tiba-tiba, dia meluru keluar dari rumahnya sambil memegang sebatang kayu dan menekan kayu berkenaan pada leher saya menyebabkan tekak saya berasa perit," katanya ketika ditemui.

Suspek yang masih tidak berpuas hati kemudian memukul belakang badan mangsa hingga bengkak.


Bimbang jirannya itu melakukan sesuatu lebih buruk, suami mangsa menariknya dan meminta suspek tidak memukul isterinya.


"Suami membawa saya membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah," katanya.


Maya berkata, dia menjalani pemeriksaan kesihatan susulan terhadap kecederaannya di Hospital Ampang dan doktor mengesahkan dia bengkak dan lebam kesan dipukul selain masih berasa kesakitan di belakang badan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan terbabit dan berkata siasatan lanjut dijalankan.

Lindsay tak insaf

Posted: 05 Sep 2011 06:55 PM PDT

LINDSAY... penuh kontroversi.
LINDSAY... penuh kontroversi.

TAHUN ini tahun yang penuh kontroversi dan telah menyebabkan dia diletakkan di bawah tahanan rumah kerana mencuri rantai.

Maka, tidak salah sekiranya Lindsay Lohan mahu kelihatan seperti orang biasa ketika melangkah keluar dari rumahnya di Los Angeles, baru-baru ini.

  • Foto

    MENONTON konsert Coldplay dengan hanya berseluar pendek dan memakai kemeja kotak-kotak.

  • Foto

    LINDSAY menutup mukanya sewaktu berjalan menuju ke keretanya.

  • Foto

    BERSAMA adiknya, Ali.

Aktres yang berusia 25 tahun itu seperti tidak mahu dikenali. Dia hanya berseluar pendek denim dipadankan dengan kemeja- T dan but hitam ketika menghantar sampel darah dan air kencing yang diwajibkan ke atasnya di sebuah pusat kesihatan setempat.

Tapi dengan rambut panjang perang yang ditocang dan memakai cermin mata hitam, usaha Lindsay untuk tidak dikenali, gagal.


Awal minggu ini, aktres itu dilihat menghadiri konsert 'Coldplay' bersama adiknya Ali.


Lindsay dikatakan marah apabila dia tidak dibenarkan masuk ke belakang pentas untuk bertemu kumpulan itu selepas tamat persembahan.

Sumber memberitahu The Sun: "Bila Lindsay diberitahu yang pas yang dimilikinya tidak membolehkan dia masuk ke belakang pentas, dia mula berang.

"Dia membantah kepada urusetia yang menguruskan senarai tetamu dengan harapan mereka akan menukar fikiran tetapi mereka tetap berkeras.

"Dia bertambah marah apabila dapat tahu yang aktres Kate Bosworth ada di situ, berbual dengan Gwyneth Paltrow dan ahli kumpulan itu. Akhirnya dia bengang dan terus keluar."

Persembahan Coldplay itu adalah acara yang biasa bagi Lindsay berbanding dengan pesta yang dihadiri kebelaka�ngan ini.

Bintang 'The Mean Girl' itu dilihat menghabiskan masa bersama Paris dan Nicky Hilton di beberapa acara tetapi kegemarannya berpesta dengan kawan-kawan telah menyebabkan ahli keluarga termasuk bapanya, Michael, bimbang Lindsay mung�kin kembali ke tabiat lama.

Kata Michael: "Saya bimbang dengan orang yang berada di sekeliling anak saya.
Dia sering bersama orang yang mahu menyusahkannya.

"Memang apa yang berlaku pada Lindsay ini adalah sesuatu yang sedih dan menakutkan. Saya mahu dia selamat."

Dia memberitahu RadarOn�line, hanya satu cara saja untuk Lindsay kembali ke pangkal jalan, iaitu sentiasa bersama adiknya Ali.

Katanya: "Apa yang dia perlukan sekarang adalah keluarganya. Hanya Dina, Michael, Cody, Ali dan saya saja yang dapat membantunya untuk kekal serius.

"Dia perlu pulang. Dina dan saya mampu memberi sokongan kepadanya. Mungkin Lindsay patut masuk ke kolej dengan Ali."

Lindsay diberi tempoh hingga Julai 2012 untuk menamatkan 480 jam khidmat kebajikan tetapi setakat ini dia hanya berjaya menamatkan 40 jam saja dan hakim tidak akan memberikannya masa tambahan.

Katanya: "Apa agaknya yang boleh buatkan dia dengar nasihat kami? Penjara bukanlah tempat untuknya, tapi dia perlu ke pusat pemulihan untuk memahami masalahnya.

"Dia pernah berada di tempat pemulihan yang paling teruk dalam negara ini.
Walaupun pusat itu terkenal, ia tidak bermakna mereka mempunyai program yang sesuai untuknya."

Pelanggan bertuah Celcom terima RM50,000

Posted: 05 Sep 2011 06:54 PM PDT

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) memberikan kejutan kepada pelanggannya dengan ganjaran wang tunai RM50,000 menerusi promosi Hello Money yang menyaksikan pelanggan Celcom Masrizah Zakaria, 45, dari Subang Permai memenangi hadiah pada minggu ke tujuh.

Promosi Hello Money yang bermula dari 6 Jun sehingga 31 Julai lalu, disasarkan kepada 8.7 juta pelanggan prabayar Celcom dengan hanya membuat lima panggilan tempatan sehari dengan setiap minggu menyaksikan seorang pelanggan memenangi hadiah RM50,000.


Selain itu, promosi turut dibuka kepada pelanggan Celcom yang baru dan sedia ada di bawah UOX, SOX, Sukses dan Celcom Blue.

Sehingga kini, lapan pemenang Hello Money telah memenangi hadiah hebat itu dengan yang pertama adalah Bali Anak Sulung, diikuti oleh Mohd Faridz Abd Aziz (minggu kedua), Siti Rokimah Hussin (minggu ketiga), Noorhafizza Nazali (minggu keempat), Affan Abd Jamil (minggu kelima) dan Azmi Sahar (minggu keenam) Manakala Wan Mahadzir Tuanku Sulong telah dikenal pasti sebagai pemenang minggu terakhir yang membawa pulang ganjaran RM50,000.

Jangka jana urus niaga RM25j

Posted: 05 Sep 2011 06:53 PM PDT

SEPAKAT...Mohd Shukri (dua dari kiri) bersalaman dengan Mohd Rosdi  selepas majlis pemeteraian MoU sambil disaksikan Ahmad Husni (tengah) dan Badlisyah (kiri), semalam.
SEPAKAT...Mohd Shukri (dua dari kiri) bersalaman dengan Mohd Rosdi selepas majlis pemeteraian MoU sambil disaksikan Ahmad Husni (tengah) dan Badlisyah (kiri), semalam.

HALAL Fiesta Malaysia (Halfest) 2011, ekspo halal terbesar di Malaysia yang akan berlangsung 12 hingga 16 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) anjuran Shapers Malaysia Sdn Bhd (Shapers Malaysia) dan Mara berserta CIMB Islamic yang menjadi penaja utama, dijangka mampu menjana nilai urus niaga kira-kira RM25 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia, Mohd Shukri Abdullah berkata, unjuran itu sangat realistik dan mampu dicapai, lebih-lebih lagi dengan anggaran kunjungan 50,000 pelawat yang dijangka menghadiri ekspo lima hari itu.


"Jika diukur pada penganjuran Mihas (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) kedua lalu, urus niaga kira-kira RM60 juta dijana dengan jumlah pelawat mencecah 36,000, maka kami optimis penganjuran Halfest 2011 ini akan menjana urus niaga sekurang-kurangnya RM25 juta.

"Setakat ini proses penganjuran berjalan sangat lancar dan memberangsangkan dengan 572 daripada 727 ruang pameran sudah dijual. Kami jangkakan setiap 'gerai' mampu menjana keuntungan antara RM7,000 hingga RM8,000 atau mengaut keuntungan bersih kira-kira RM5,000," katanya selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Shapers Malaysia, Mara dan CIMB Islamic Bank Bhd di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin; Pengerusi CIMB Islamic Bank, Datuk Dr Syed Muhamad Syed Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mohd Rosdi Ismail.


Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, pihaknya memperuntukkan RM1.95 juta atau 35 peratus daripada kos penganjuran Halfest 2011 sebanyak RM5.5 juta untuk tujuan pengiklanan dan promosi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif CIMB Islamic Bank, Badlisyah Abdul Ghani berkata, Halfest 2011 bakal menyaksikan sistem urus niaga unik menggunakan kad elektronik Touch & Go sebagai landasan utama pembayaran.


"Tujuannya ialah untuk menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai seiring dengan hasrat kerajaan. Mungkin tahun ini tidaklah keseluruhannya menggunakan corak pembayaran seperti ini, tapi kami sasarkan untuk melaksanakan sistem urus niaga tanpa tunai sepenuhnya dalam penganjuran Halfest akan datang," katanya.

Rakyat seluruh negara beri sokongan

Posted: 05 Sep 2011 06:46 PM PDT

KENANGAN...sempat merakamkan kenangan manis bersama di Ummu Sofiah.
KENANGAN...sempat merakamkan kenangan manis bersama di Ummu Sofiah.

KUMPULAN beberapa sahabat yang mengan�jurkan Kembara Ukhuwah ke utara, menziarahi dua rumah anak yatim di Taiping dan Perlis gementar apabila harinya tiba jua.

Masing-masing risau mengenai kelancaran majlis tetapi tetap berdoa segalanya berjalan seperti dirancang dan dapat menyerahkan sumbangan yang sudah dikumpul itu kepada yang berhak.

  • Foto

    CERIA..anak-anak yatim seronok dapat baju raya baru.

  • Foto

    TERIMA KASIH...kiriman hadiah termasuk kuih raya, kerepek, tuala dan telekung.

Pada masa sama, mereka juga teruja kerana ia adalah perjalanan yang agak jauh membabitkan lima kereta berkonvoi ke utara.

"Lega sungguh hati apabila dapat menyerahkan sumbangan ini. Ia adalah tanggungjawab dan amanah yang mesti dilakukan sebaik mungkin," kata Norhayati Berahim yang bertindak sebagai bendahari penganjur Kembara Ukhuwah.


"Selain empat ahli utama, 11 orang lagi turut serta dan antaranya ialah sahabat pe�nyumbang yang kami kenali daripada laman sosial yang sejak awal lagi mengikuti perancangan kembara ini," tambah Norhayati yang turut membawa suami, anak dan pembantunya sekali.


Kembara berkenaan dirancang pada akhir Jun lalu dengan menyasarkan tiga kutipan bagi diserahkan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Ummu Sofiah di Trong, Pantai Remis; Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat, Mata Ayer, Kangar serta projek perpustakaan di rumah anak-anak yatim oleh Iskandar Syah Ismail (drbubbles.blogspot.com).

"Walaupun sasaran awal kami lebih kecil iaitu mengumpul dana sekitar RM12,000 untuk ketiga-tiga nama di atas dalam masa tidak sampai sebulan, alhamdulillah kami mencapai sasaran malah mendapat jumlah lebih. Daripada penderma yang prihatin itulah kami dapat antaranya memberi sumbangan untuk berbuka dan bersahur bersama Rumah Ummu Sofiah dan Teratak Rahmat serta membeli baju raya, kuih raya, duit raya kepada anak-anak yatim dan kakitangan selain sumbangan kepada rumah itu sendiri," kata pengerusi penganjur, Norazlina Yusof.

Menurutnya, penderma terdiri daripada rakyat seluruh negara termasuk Sarawak dan ada penderma dari luar negara seperti Melbourne.

Kebanyakan penderma mengetahui mengenai program berkenaan setelah membacanya di Internet dan akhbar.

Katanya, program bermula dengan konvoi lima kereta ke Trong pada pagi Jumaat, 12 Ogos lalu untuk ke destinasi pertama mereka, Rumah Ummu Sofiah.

"Di sini kami tiba pada waktu tengah hari, terus bersua dengan anak-anak yatim dan kemudian melawat projek perpustakaan Iskandar Syah yang sudah siap. Selepas rehat sebentar, kami berbuka, solat jemaah, Tarawih, moreh hinggalah solat subuh bersama-sama anak-anak ini. Kami tidur di bilik yang disediakan pihak Ummu Sofiah.

"Pengalaman dapat bersama mereka walaupun hanya sehari tetap merapat�kan hubungan di samping memberi kami gambaran bagaimana kehidupan seharian anak yatim di situ," kata Norazlina.

Suasana yang cukup sederhana dan kena tidur beramai-ramai dalam keadaan kurang selesa tidak langsung membuatkan rombongan kembara terbabit mengeluh, malah ia umpama kenangan termanis buat mereka.

Sehingga lewat malam kerana keesokannya cuti, ada yang masih bersembang dengan anak-anak yatim.

Hari kedua pula selepas mengucapkan selamat jalan kepada anak-anak dan warga kerja Ummu Sofiah, rombo�ngan terbabit menuju ke Perlis pula bagi bertemu anak-anak di Teratak Rahmat.

"Di sini, selain menghantar kiriman sumbangan, kami berbuka, bersolat jemaah, Tarawih dan moreh bersama-sama. Menariknya, untuk moreh kami menikmati roti dan burger yang disediakan sendiri kakitangan Teratak Rahmat.

"Kami sangat bersyukur kerana pada bulan mulia ini, kami bukan hanya dapat menziarah sebuah malah dua rumah anak yatim dan setiap satu padat dengan pengisian sesuai demi kebaikan bersama," katanya.

Selain mengucapkan terima kasih kepada pihak Ummu Sofiah dan Teratak Rahmat, Norazlina juga mengucapkan perhargaan kepada Iskandar Syah Ismail yang membantu mengenal pasti dua rumah itu serta menjadi jurupandu sepanjang kembara berkenaan.

Pegawai di syarikat swasta, Hartini Anuar, 35, menyertai ziarah terbabit bersama ibu�nya, Zabidah Abdul Rahman, 60.

"Saya bersyukur turut serta di dalam kembara ini kerana selain mendekati anak-anak yatim, saya juga dapat menge�nali kawan baru. Sekiranya ada peluang saya mahu turut serta lagi," katanya.

Ibu Hartini, Zabidah memberitahu bagaimana dia sendiri yang mahu mengikuti kembara berkenaan atas semangat�nya mahu mendekati dan bermesra dengan anak-anak yatim.

Peserta kembara, Ronizan Mat Jusoh, 40, walaupun tidak terbabit dalam peranca�ngan awal, dia kemudian turut membantu persiapan seperti menyediakan beg hadiah untuk diberikan kepada anak-anak yatim dan kakitangan di situ.

Bagi Anita Mohd Sharkawi, 34, yang turut serta bersama suaminya, berasa pengalaman ziarah ke rumah anak yatim dan bermalam di Ummu Sofiah paling manis kerana dapat mengenali anak-anak di situ dengan lebih dekat lagi.

"Selain merasai sendiri kehidupan anak-anak di Ummu Sofiah. Ia juga sebagai motivasi diri sendiri agar lebih menghargai dan bersyukur dengan apa yang kita ada. Banyak pengalaman dan pengajaran yang kami dapat dalam kembara dua hari ini," katanya.

James Bond, Cat Women dalam NORA

Posted: 05 Sep 2011 06:45 PM PDT

pix_gal0
100 pakaian sehari untuk teater muzikal yang bermula 29 September

LIUK lenggok pelakon dengan menggayakan busana menarik bukan saja menaikkan lagi karektor yang dibawa di atas pentas teater, tetapi fesyen yang digayakan turut mencerminkan jalan cerita yang hendak disampaikan.
Kecantikan dan keunikan rekaan kostum yang digayakan melahirkan rasa kagum kepada penonton dan itu yang akan diterapkan dalam pementasan teater muzikal The Secret Life Of Nora (NORA). Teater yang dipentaskan selama sebulan bermula 29 September ini memperagakan 100 pakaian hasil sentuhan 12 pereka muda tempatan.

Bagi menaikkan seri 35 pelakon teater muzikal itu, Akademi Fesyen Stylo International diberi tanggungjawab menyediakan rekaan busana. Malah, teater terbabit juga diangkat sebagai High Fashion Theater yang turut mendapat sentuhan pereka terkenal tempatan Bill Keith dan pereka dari Singapura.

Presiden Stylo International, Datuk Nancy Yeoh berkata, pakaian yang bertemakan era 60-an itu bakal menjadikan NORA sebagai teater pertama negara yang menggunakan banyak fabrik.

"Saya bangga Stylo dipilih bekerjasama dalam teater ini dan pereka muda kita akan menghasilkan rekaan yang unik serta penuh dengan warna sepanjang teater itu berlangsung.
"Bayangkan 100 pakaian digayakan dalam sehari dengan pelbagai rekaan dan warna fabrik menarik bagi menyerikan teater itu," katanya.

Ketelitian dalam menghasilkan rekaan yang menarik memerlukan sentuhan daripada pakar, namun pemilihan 12 pereka muda itu dicungkil dalam pertandingan Mercedez-Benz Stylo Emerging Desingners 2011 pada April lalu.
Kesemua pereka itu akan dipantau oleh pereka, Cris Yong bagi menghasilkan pakaian pelakon. Manakala pakaian yang akan dipakai oleh watak Nora lakonan Tiara Jacquelina direka khas Bill Keith.

"Dalam menghasilkan rekaan yang menarik dan dapat ditukar dalam masa kurang 45 saat, kita memerlukan banyak pengalaman tentang fesyen dan pemilihan fabrik dan rekaan khusus. Disebabkan persembahan teater ini mengambil masa hampir sebulan jadi pakaian yang direka perlu tahan lama selain mudah ditukar oleh pelakon sepanjang persembahan berlangsung," jelasnya.

Meskipun pernah menjayakan teater muzikal Puteri Gunung Ledang dan P Ramlee The Musical tetapi bagi Presiden Enfiniti Vision Media, Datin Seri Tiara Jacquelina, teaternya kali ini bakal menampilkan kelainan dan keunikannya tersendiri.

Bahkan, Tiara mahu melihat teater NORA bakal meninggalkan kenangan menarik buat penonton serta mampu dipentaskan di luar negara.

"Ada banyak rekaan yang dihasilkan pereka ini dan kalau boleh semua saya nak semua tetapi tak boleh, sebab tempoh pementasan yang singkat akan menyukarkan pelakon untuk menukar pakaian.

"Saya sudah tengok lakaran kasar pakaian terbabit dan memang berpuas hati sebab semua yang dipilih memang cantik, unik dan menarik," katanya.

Pakaian khas untuk perisik

BAGI menampakkan rekaan yang canggih dan unik untuk digayakan oleh Nora sebagai ejen perisik, pakaiannya direka dengan mengambil konsep dari filem Batman.

Bill Keith dipertanggungjawab bagi menghasilkan dua kostum menarik untuk Nora bagi menampakkan karektor seorang wanita yang berkuasa dengan busana mudah guna.

"Saya hasilkan dua pakaian utama Nora dengan dua karektor berbeza daripada seorang penari kepada ejen perisik. Saya ambil konsep Cat Women dalam filem Batman selain idea daripada filem James Bond bagi menampakkan pakaiannya sebagai seorang ejen perisik," katanya.

Malah, kostum yang akan digayakan Nora nanti juga mirip pakaian yang dipakai John Crawford dalam filem Mission Impossible.

Pakaian itu juga diterapkan elemen misteri, kepintaran dan licik yang dapat menyembunyikan senjata atau aksesori dwi fungsi.

"Saya nak reka baju yang orang nampak biasa tetapi sebaliknya ia dwi fungsi seperti dalam filem penyiasatan barat ketika era 60 dan 70an.

"Saya akan bermain dengan banyak warna bagi menghasilkan rekaan yang menarik, menakjubkan dan memukau mata penonton," jelasnya.

INFO

  • Teater muzikal The Secret Life Of Nora dipentaskan di IB daripada 29 September hingga 16 Oktober 2011

  • Harga tiket bermula daripada RM30, RM50, RM110, RM120, RM220 dan RM240.

  • Diskaun 20 peratus untuk pembelian awal bagi tiket berharga RM120 dan RM240.

  • Turut ditawarkan tiket untuk tempat duduk khas berharga RM350 dan RM450.

  • Diskaun 10 peratus untuk pembelian awal bagi tiket berharga RM350.

  • Tiket boleh ditempah atau dibeli secara talian daripada www.airasiaredtix.com atau telefon 03–87754666. Tiket juga boleh didapati di kaunter Box Office, Istana Budaya, hubungi 03-40265558

  • Tempahan pakej korporat dengan minimum 30 tempat duduk juga dialu-alukan.
  • Hantu Bonceng angkut RM4.5 juta

    Posted: 05 Sep 2011 06:42 PM PDT

    pix_gal0
    Ahmad Idham sasar kutipan filem terbaru arahannya boleh cecah RM8 juta

    SELEPAS melalui saat getir apabila beberapa filem arahannya mendapat sambutan kurang memberangsangkan, kini Ahmad Idham sudah boleh kembali senyum dan lega apabila Hantu Bonceng menunjukkan kutipan kasar sangat baik iaitu RM4.5 juta selepas lima hari ditayangkan.
    Filem terbaru arahannya itu yang ditayangkan menerusi 61 panggung sejak 30 Ogos lalu sehingga kini terus mendapat sambutan, terutama pada hujung minggu dan cuti am.
    Malahan sejak hari pertama lagi, filem Hantu Bonceng sudah mencatatkan kutipan kasar hampir RM800,000. Dan kini, biarpun mendapat sambutan baik tetapi Ahmad Idham sebagai penerbit dan pengarah filem itu, mengharapkan Hantu Bonceng boleh melepasi angka RM5 juta untuk tempoh beberapa hari lagi.

    "Alhamdulillah, sambungan penonton memang amat membanggakan dan di luar jangkaan saya. Ini satu rekod bagi saya kerana dalam tempoh tayangan, Hantu Bonceng sudah mencapai hampir RM2 juta.

    "Tayangan di musim perayaan sedikit sebanyak membantu filem ini dan saya berasakan ada peningkatan lagi dalam tempoh seminggu akan datang," katanya kepada Hip.

    Ahmad Idham tidak menafikan berdasarkan kutipan yang diperolehi itu, ia bukan saja sudah mengembalikan kos penerbitan tetapi dapat menikmati sedikit keuntungan.
    "Memang melegakan. Rasa terubat kekecewaan selepas filem Senjakala tidak mendapat sambutan yang diharapkan. Malahan dengan kutipan filem Hantu Bonceng ini, dapat juga membantu mengurangkan kerugian daripada filem Senjakala," katanya.

    Menurutnya, apa yang diharapkan, berita yang di sampaikan dari mulut ke mulut mengenai Hantu Bonceng mampu menarik lebih ramai penonton menjengah ke panggung di minggu terakhir ini.

    "Saya berharap dengan cerita yang disampaikan mereka ini akan memberi impak kepada penonton lain untuk datang menyaksikan filem ini," katanya.

    Filem komedi seram yang mengisahkan mengenai Amran yang sering terbabit dalam perlumbaan haram, memenangi satu perlumbaan dan diberi habuan seorang bohsia bernama Maya.

    Namun, malang tidak berbaur apabila Maya yang membonceng motosikal yang dipandu Amran dilanggar lori menyebabkan Maya maut di tempat kejadian. Hidup Amran mula berubah selepas kejadian tersebut dan sering dihantui Maya.

    Ahmad Idham berkata, bukan mustahil kalau kutipan kasar filem Hantu Bonceng boleh mencapai angka RM8 juta sekiranya sambutan penonton adalah konsisten selain masih mempunyai tempoh seminggu lagi ditayangkan mengikut peraturan Skim Wajib Tayang.

    "Saya tak boleh nak cakap mengenai kutipan kerana nilai kutipan sebenar akan diketahui pada Isnin (5 September) tetapi saya menjangkakan ia mampu mencapai RM8 juta, Insya-Allah.

    "Apapun saya amat berpuas hati dengan jumlah kutipan terkini kerana ia di luar jangkaan saya dan berharap minggu kedua ini akan memberi lebih impak lagi," katanya.

    Gembira melihat sambutan yang amat membanggakan daripada penonton, Ahmad Idham bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak karya di masa depan.

    Ahmad Idham juga mengharapkan filem terbarunya, Gerimis Mengundang turut mendapat tempat di hati penonton apabila ditayangkan kelak.

    "Siapa yang tak gembira melihat karya kita diterima penonton dan ini juga menjadi motivasi kepada saya untuk terus berkarya dalam memajukan industri perfileman tempatan.

    "Lepas ini akan ada lagi filem saya termasuk filem Gerimis Mengundang dan mengharapkan pencapaian saya tidak berakhir di sini saja," katanya.

    Lebih aktif terbitkan filem

    SELEPAS namanya sudah tidak lagi dikaitkan sebagai calon Ketua Pengarah baru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham menegaskan kali ini dia mahu menumpukan sepenuhnya sebagai orang kreatif dalam industri perfileman.

    "Dulu saya banyak menghabiskan masa memikirkan apa yang saya nak buat kalau
    dilantik untuk jawatan itu (Ketua Pengarah baru FINAS). Tapi selepas sudah pasti jawatan itu disandang orang lain, saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya dengan kerja kreatif, yang beberapa ketika kurang diberikan tumpuan.

    "Selepas Hantu Bonceng, ada dua atau tiga filem arahan saya menunggu masa untuk ditayangkan. Malahan, saya sedang bersiap sedia untuk mengarahkan satu lagi filem terbaru dalam masa terdekat ini," katanya.

    Firma AS labur RM1b di Cyberjaya

    Posted: 05 Sep 2011 06:40 PM PDT

    pix_gal0
    Komitmen pelaburan untuk tempoh lapan tahun sudah dilulus MIDA

    MSC Malaysia bakal menerima pelaburan baru membabitkan sebuah syarikat multimedia terkemuka dari Amerika Syarikat (AS) yang merancang melabur kira-kira RM1 bilion bagi membuka operasinya di Cyberjaya.
    Ketua Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali, berkata komitmen pelaburan untuk tempoh lapan tahun itu sudah diluluskan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) baru-baru ini.
    Beliau berkata, syarikat terbabit mengadakan pertemuan dengan beliau ketika misi perdagangan Malaysia ke AS Mei lalu, bagi menyatakan hasrat untuk beroperasi di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

    "Nama syarikat itu biarlah kerajaan yang umumkan. Insya-Allah tidak lama lagi, kerana syarikat ini mahu segera beroperasi di Malaysia dan kita perlu menyegerakan kertas kerja supaya mereka boleh bermula hujung tahun ini.

    "Kesediaan mereka untuk beroperasi di kawasan MSC adalah petunjuk yang baik dan membuktikan keyakinan mereka terhadap persekitaran ekonomi negara ini," katanya dalam temubual dengan Berita Harian baru-baru ini.

    Badlisham berkata, selain syarikat itu, pihaknya turut mengemukakan dua lagi permohonan syarikat AS yang mahu melabur di Malaysia kepada pihak kerajaan dan MIDA.
    Katanya, permohonan kedua-dua syarikat berkaitan perkhidmatan teknologi maklumat (IT), perisian dan penyumberan luar itu masih lagi dalam perincian dan jika tiada masalah permohonan mereka akan diluluskan tidak lama lagi.

    Badlisham berkata, minat ketiga-tiga pelabur AS itu membuktikan kepercayaan yang tinggi dikalangan pelabur negara itu terhadap pengembangan dan kestabilan ekonomi negara bagi memenuhi keperluan pengembangan operasi mereka.

    Katanya, krisis di zon Euro, kos operasi yang tinggi dan persekitaran ekonomi mencabar di AS dan Eropah memberikan tekanan kepada syarikat berkaitan ICT di AS sekali gus membuka laluan untuk mereka mengembangkan operasi ke pasaran baru khususnya Asia.

    Beliau berkata, pelabur AS khususnya yang terbabit dalam industri IT dan penyumberan luar tidak hanya meninjau menjimatkan operasi tetapi juga berhasrat memiliki pelaburan dan operasi lain di beberapa negara berpotensi di Asia seperti India dan China.

    "Justeru, Malaysia sentiasa menjadi negara yang paling menarik bukan hanya dari segi penjimatan kos operasi tetapi juga perkhidmatan yang ditawarkan dan kedudukannya yang sebahagian daripada rantau Asia ini.

    "Khususnya dikalangan penyedia perkhidmatan perisian dan IT, keyakinan mereka terhadap Malaysia kini terus meningkat dan isu kos operasi yang tinggi di Eropah dan AS kekal menjadi perangsang utama kepada mereka untuk datang ke Malaysia," katanya.

    Berang jalan taman retak

    Posted: 05 Sep 2011 06:38 PM PDT

    • Foto

      AZMAN (kanan) menunjukkan retakan jalan di Taman Puncak Bertam.

    • Foto

      PENDUDUK Taman Puncak Bertam membuat bantahan kepada pemaju yang gagal menyelesaikan masalah penduduk.

    Penduduk Puncak Bertam sudah lama bersabar, harap dibaiki segera

    MELAKA TENGAH: Kira-kira 2,000 penduduk Taman Puncak Bertam, Cheng, dekat sini, berang dengan sikap pemaju taman perumahan itu yang didakwa gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan di taman perumahan itu sejak mereka menetap di situ kira-kira dua tahun lalu.
    Akibat sikap itu, penduduk kini terpaksa berdepan masalah laluan yang sudah retak sehingga menimbulkan kebimbangan setiap kali melaluinya, selain isu tiada jaminan keselamatan gara-gara kawalan keselamatan longgar.
    Presiden Persatuan Penduduk Taman Puncak Bertam, Datuk Azman Ismail, berkata penduduk di kawasan itu sudah lama bersabar dan berharap tindakan segera diambil bagi mengatasi isu berkenaan selepas beberapa aduan rasmi dikemukakan kepada pemaju.

    Namun, katanya, sehingga kini, tidak ada maklum balas diterima dari pihak terbabit.

    "Kami sudah tidak dapat bersabar dengan sikap pemaju ini dan berharap usaha kami dengan memanggil media dapat dapat membuka mata mereka selain pihak berkuasa," katanya selepas menyertai kira-kira 30 penduduk taman itu mengadakan bantahan terhadap pemaju taman berkenaan.

    Azman berkata, setiap pemilik rumah di taman itu dikenakan yuran penyelenggaraan dan keselamatan setiap tahun, namun perkhidmatan yang diberi dilihat tidak berbaloi dengan apa dibayar oleh mereka.
    Contoh katanya, setiap penduduk di situ sepatutnya dapat menggunakan kad khas untuk memudahkan kenderaan mereka keluar masuk ke taman berkenaan, tetapi sudah empat bulan tidak dapat menggunakannya kerana didakwa menghadapi masalah perisian.

    Selain itu, katanya, kejadian pecah rumah seorang penduduk sehingga mengalami kerugian kira-kira RM20,000 membuktikan kelemahan sistem kawalan keselamatan di kawasan itu.

    "Kami dapati beberapa pagar kawad duri yang dipasang di sekitar kawasan taman perumahan ini sudah dipotong oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga memudahkan sesiapa saja memasuki kawasan perumahan ini," katanya.

    Seorang penduduk, Simon Tan Chee Haw, 31, pula berasa kecewa dengan sikap pemaju yang memandang ringan tahap keselamatan di kawasan itu sehingga memudahkan penceroboh masuk.

    "Apa gunanya penduduk di sini membayar yuran keselamatan antara RM600 hingga RM1,200 setahun jika kejadian jenayah masih boleh berlaku," katanya.

    Usia 7 tahun, tinggi 56sm

    Posted: 05 Sep 2011 06:34 PM PDT

    KAMA Mirezzanial dengan ketinggian 56sm bersama adiknya Kamarya Myzara.
    KAMA Mirezzanial dengan ketinggian 56sm bersama adiknya Kamarya Myzara.
    Zanial hidap Sindrom Sackle budak terpendek di dunia

    KUALA TERENGGANU: Berikutan tumbesarannya terhenti sejak berusia lima tahun, Kama Mirezzanial Kama Rezmee, 7, dengan ketinggian 56 sentimeter mungkin lelaki terpendek di dunia, mengatasi rekod dipegang Junrey Balawing, 18, dari Filipina dan Khagendra Thapa Magar, 19, dari Nepal yang masing-masing setinggi 60 dan 67 sentimeter.
    Kama Mirezzanial yang dilahirkan pada 2 Mac 2004, adalah cahaya mata kepada pasangan Kama Rezmee Kamaruddin, 36, dan Masitah Md Yusof, 34, anak Terengganu yang kini mengusahakan perniagaan penyediaan makanan di Seri Kembangan, Selangor.
    Penulis yang berkunjung ke rumah nenek Kama Mirezzanial, Rajemah Sheikh Ahmad, 67, di Taman Permint Jaya, Chendering di sini, terpegun melihat keletah dan keadaan fizikal si kenit itu yang lebih mesra dengan panggilan Zanial.

    Walaupun sudah memasuki usia Tahun Satu, keadaan fizikal Zanial tidak seperti rakan sebayanya, malah dia hanya berdiri setakat pinggang adiknya Kamarya Myzara, empat tahun, sekali gus setiap yang melihat pasti menyangka Zanial yang hanya seberat 4.8 kilogram adalah adik.

    Kama Rezmee berkata, Zanial tidak ada masalah kesihatan dan dia seorang yang periang kecuali agak pemalu dengan orang yang belum pernah ditemuinya.

    Dengan keadaan fizikal yang menyamai bayi berusia dua tahun, Kama Rezmee berkata, Zanial sentiasa menjadi perhatian ramai apabila mereka keluar bersiar-siar dan ramai yang akan mengambil kesempatan mendukung anak sulung daripada dua beradik itu.
    "Zanial dilahirkan di Hospital Putrajaya menerusi pembedahan ketika kandungan isteri saya lapan bulan.

    "Selepas dilahirkan, Zanial hanya sebesar tapak tangan dan beratnya 550 gram, manakala jari tangan sebesar batang mancis dengan kepala sebesar bola tenis," katanya yang mengakui berasa bangga mempunyai seorang cahaya mata dikategorikan sebagai insan istimewa.

    Kama Rezmee yang juga anak kepada pasangan atlit olahraga negara Allahyarham Kamaruddin Maidin dan Rajemah, kini berada di rumah ibunya di Terengganu bagi merayakan Aidilfitri.

    Selepas dilahirkan, Zanial ditempatkan dalam wad khas selama 10 hari dan kemudian diletakkan dalam inkubator selama 75 hari dan ketika itu keluarga dimaklumkan peluang untuk Zanial hidup sekitar 35 peratus saja.

    Rejemah pula berkata, keluarga dimaklumkan doktor tumbesar Zanial terbantut kerana menghidap 'Sindrom Sackle' dan mereka mengalami gejala itu mempunyai wajah hampir serupa.

    "Saya terpanggil untuk memberitahu kepada media apabila membaca akhbar Berita Harian sebelum ini yang melaporkan mengenai Khagendra, lelaki kedua terpendek di dunia kerana saya juga mempunyai cucu lelaki yang mana dari segi saiz fizikal dan rupa parasnya hampir sama dengan Khagendra.

    "Zanial tidak ada masalah kesihatan dan sentiasa riang dan boleh berkomunikasi dengan baik walaupun percakapannya seperti kanak-kanak baru belajar bercakap," katanya sambil menambah Zanial kini mengikuti pembelajaran dari rumah kerana bimbang keselamatannya jika dihantar ke sekolah.

    Sementara itu, The Malaysia Book of Records yang dihubungi berkata, pihaknya akan memeriksa kriteria ditetapkan sama ada Zanial layak menyandang status lelaki terpendek di dunia.

    Menurut wartawan penyelidiknya, Myra Dzaman, usia Zanial masih kanak-kanak berbanding Junrey dan Khagendra yang dalam lingkungan umur belasan tahun.

    Sebelum ini, status lelaki terpendek di dunia dipegang He Ping Ping dari China yang tinggal di Inner Monggolia dengan ketinggian 74.6 sentimeter. Bagaimanapun, beliau sudah meninggal pada Mac lalu ketika berusia 22 tahun.

    Tenang di Red Kebaya

    Posted: 05 Sep 2011 06:33 PM PDT


    Norain Zainal bersama dua kakitangan Spa Red Kebaya.


    MUNGKIN mendapat ilham daripada filem Red Kebaya, Norain Zainal, 27 tahun, terus mengambil nama ini bagi menamakan spa miliknya yang baru dibuka Februari tahun ini.

    Memilih lokasi di Bukit Antarabangsa, Norain berkata, walaupun lokasi itu agak jauh dari ibu kota, namun kedudukan yang eksklusif ini memberikan ketenangan kepada pengunjung.

    Katanya, kebiasaannya mereka yang datang ke spa kerana inginkan ketenangan dan jauh daripada kebisingan dan kesibukan.

    Lokasi ini juga memudahkan pelanggan yang datang dari semua arah kerana mereka boleh melalui lebuh raya Lingkaran Tengah.

    ''Pelanggan tidak perlu melalui jalan yang sesak dan mereka boleh meletak kereta dengan mudah di sini,'' tambahnya yang ditemui di Spa Red Kebaya baru-baru ini.

    Menurut ibu kepada dua orang anak perempuan ini, Spa Red Kebaya adalah lebih bercirikan kecantikan dan kesihatan.

    ''Kebiasaannya hanya wanita yang berumur 30 tahun ke atas yang mula peka dan mengambil berat akan kecantikan wajah dan badan. Sementara yang muda malas dan mengambil remeh akan hal ini.

    ''Di Spa Red Kebaya, kami menerima pelanggan dari semua peringkat usia. Banyak jenis rawatan yang boleh dipilih, iaitu daripada rawatan muka hingga ke rawatan badan,'' ujarnya.

    Tambahnya, antara rawatan yang popular di spa itu ialah program pelangsingan Marissa Scientific yang diformulakan oleh pakar estetika Dr. Rushmini Maris Ismail. Program itu amat berkesan untuk melangsingkan tubuh yang berisi.

    Tempoh rawatan mengambil masa tiga bulan dan sempena Hari Raya Aidilfitri ini, pelanggan mendapat tawaran istimewa pada harga RM4,788..

    Program itu akan memudakan metabolisma yang ada pada seseorang dan hasilnya pelanggan tidak akan berasa letih dan lesu.

    Menurutnya, sempena raya juga beliau menyediakan rawatan peremajaan bagi menegang, mencerah dan merawat sel kulit muka.

    Pelanggan yang membeli produk Rejuvenist di Spa Red Kebaya akan mendapat harga promosi untuk facial pada harga RM158 sahaja.

    Antara cara rawatan yang diberikan ialah membersihkan muka, skrub, wap, mengeluarkan noda hitam dan putih dan meratakan serum ke seluruh wajah.

    Rawatan ini amat sesuai kepada mereka yang berusia 23 tahun ke atas dan mengalami masalah kulit kering.

    Jelas Norain, selain mendapatkan rawatan di spa, pelanggan boleh membeli serum rejuvenist ini untuk kegunaan di rumah.

    Ia merupakan cara semulajadi bagi memiliki wajah yang lembap, anjal, cerah, muda dan cantik berseri.

    Mempunyai enam bilik rawatan, empat untuk muka dan tiga untuk badan, Spa Red Kebaya turut menyediakan spa ikan dengan bayaran sebanyak RM15 untuk 20 minit.

    Norain boleh dihubungi di 016-3350352.

    Elak pembaziran di rumah terbuka

    Posted: 05 Sep 2011 06:31 PM PDT


    Mengadakan rumah terbuka memerlukan belanja besar dalam menyediakan makanan. - Gambar hiasan


    SEJAK berzaman budaya kunjung-mengunjung sudah menjadi amalan dalam masyarakat Melayu untuk memeriahkan sambutan hari raya sepanjang bulan Syawal.

    Ini bertepatan dengan konsep rumah terbuka yang sudah lama menjadi tradisi di mana tuan rumah akan menerima kunjungan tetamu tanpa batasan masa dan waktu.

    Sekalipun tuan rumah akan menyediakan juadah dan duit raya untuk kanak-kanak tetapi amalan ini sebenarnya lebih kepada ruang yang digunakan untuk saling bermaafan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

    Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini budaya rumah terbuka semakin mengambil-alih amalan tradisi ini.

    Kini ia bukan sahaja menjadi trend kepada masyarakat di kota malah semakin menular di bandar-bandar kecil khususnya kepada mereka yang mendiami taman-taman perumahan.

    Konsep rumah terbuka berbeza dengan amalan kunjung-mengunjung secara tradisi kerana ia lebih kepada mengadakan jamuan besar seperti kenduri di mana tetamu terhad kepada jemputan sahaja.

    Juadah yang dihidangkan juga lebih menyerupai lauk-pauk kenduri termasuk makanan tradisi hari raya iaitu ketupat, rendang, lontong dan sebagainya.

    Apa yang pasti konsep rumah terbuka ini memerlukan perbelanjaan yang lebih besar berbanding amalan tradisi lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi negara sekarang.

    Harga barang yang semakin naik sekali gus akan meningkatkan lagi perbelanjaan terutama kepada yang mula merancang untuk menganjurkan rumah terbuka pada musim Syawal ini.

    Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) juga menggalakkan rakyat di negara ini supaya kembali mengamalkan rumah terbuka secara tradisi.

    ''Rumah terbuka secara tradisi ini walaupun berlangsung selama sebulan tetapi tuan rumah tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar memandangkan kunjungan tetamu hanya untuk saling bermaafan dengan disediakan dengan sedikit hidangan ringan,'' kata Pengarah Komunikasinya, Mohd. Yusof Abdul Rahman baru-baru ini.

    Tambahan pula katanya, tetamu yang datang biasanya tidak akan mengambil masa lama ketika bertandang memandangkan akan berkunjung ke rumah orang lain pula.

    Selain itu katanya, rumah terbuka secara tradisi ini juga lebih menjimatkan perbelanjaan.

    ''Ini kerana kunjungan tetamu biasanya bukan untuk makan sahaja tetapi lebih ke arah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim,'' katanya.

    Berbanding dengan majlis rumah terbuka yang menjadi trend masa kini kata Mohd. Yusof, pastinya tuan rumah tidak dapat mengelak daripada mengeluarkan perbelanjaan yang besar.

    ''Tambahan pula sekarang sudah ada yang mengedarkan kad jemputan seperti kenduri kahwin serta mengupah katering untuk menyediakan juadah kepada tetamu,'' katanya.

    Katanya, selain menyediakan juadah yang banyak untuk tetamu yang dijangka akan datang tetapi akan berlaku pembaziran apabila makanan tidak habis dimakan dan sebagainya.

    ''Selain itu kedatangan tetamu yang datang beramai-ramai dengan serentak ini juga akan membuatkan tuan rumah tidak dapat memberikan layanan sebaik mengadakan rumah terbuka secara tradisi,'' katanya.

    Bagaimanapun kata Mohd Yusof , tuan rumah sebenarnya masih boleh menjimatkan perbelanjaan jika ingin menganjurkan rumah terbuka.

    Katanya tuan rumah harus memastikan jumlah tetamu yang bakal dijemput supaya dapat menyediakan makanan yang secukupnya.

    Katanya, ini penting bagi tuan rumah membuat perbelanjaan yang tepat supaya sekali gus tidak melakukan pembaziran.

    Mohd. Yusof memberitahu, untuk lebih menjimatkan lebih baik jika tuan rumah memasak sendiri juadah yang akan disediakan untuk tetamu.

    Selain itu, katanya, apa salahnya jika mengadakan gotong-royong untuk menyediakan masakan untuk rumah terbuka ini yang sememangnya berkonsep ala majlis kenduri.

    Jelas Mohd. Yusof sekali gus ini akan menggalakkan hubungan yang lebih akrab sesama jiran tetangga, rakan dan sanak-saudara.

    Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah

    Posted: 05 Sep 2011 06:29 PM PDT


    Timbalan Pengerusi WIM, Datuk Dr. Nellie S. L Tan Wong (empat dari kiri) dan Siew Yong Gnanalingam (tiga dari kanan) bersama ahli jawatankuasa lain pada pelancaran Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah WIM Wanita Berinspirasi 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


    WANITA hari ini bukan lagi golongan yang dianggap lemah dan tidak mampu bersaing untuk mencipta kejayaan.

    Malah hari ini, dapat dilihat bahawa wanita sudah mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan golongan lelaki dalam segala aspek.

    Segala pencapaian yang membanggakan ini seharusnya diberikan anugerah mahupun penghargaan dalam usaha menghargai keringat serta kejayaan yang dikecapi.

    Sehubungan itu, Anugerah Wanita Tun Dr. Siti Hasmah WIM Wanita Berinspirasi 2011, kini memulakan pencariannya.

    Dianjurkan oleh Institut Pengurusan Wanita (WIM) sejak 2003, anugerah tersebut dilihat mampu memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita yang pernah menempuh pelbagai cabaran sebelum berjaya dalam bidang masing-masing dan menyumbang kepada masyarakat.

    Pengerusi WIM, Puan Sri Siew Yong Gnanalingam berkata, sejak anugerah itu dilancarkan pada tahun 2003, ia sememangnya satu anugerah unik kerana tumpuannya lebih kepada keupayaan pemenang melalui cabaran dan dapat mengatasinya dalam persekitaran yang serba kekurangan serta berjaya menjadi seorang warganegara contoh.

    "Anugerah ini unik kerana kriteria-kriteria yang ditetapkan bagi pencalonan berbeza daripada anugerah yang sedia ada.

    "Apa yang diharapkan mereka yang dicalonkan betul-betul merupakan seorang individu yang berusaha sendiri tanpa mendapat mana-mana bantuan.

    "Lagipun, calon-calon seperti ini susah ditemui dan sudah pasti mereka yang menang betul-betul memenuhi kriteria yang telah ditetapkan," katanya pada majlis pelancaran anugerah tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Tambah beliau, calon yang bakal dinobatkan Anugerah Wanita Tun Dr. Siti Hasmah WIM Wanita Berinspirasi 2011 akan menjadi ikon untuk golongan wanita seluruh negara.

    Pemenang akan menerima sebuah trofi beserta wang tunai RM10,000 daripada WIM selain wang tunai RM20,000 daripada Etiqa Insurans dan Takaful.

    Selain itu, pemenang juga akan menerima satu set rantai mutiara bernilai RM15,000 tajaan Rafflesia Pearls; kristal dan tembikar daripada Tiffany & Co bernilai RM15,000; beg tangan berjenama bernilai RM8,000 serta jam daripada Jaeger-le Coultre bernilai RM2,000.

    Sementara itu, pemenang dan empat finalis terakhir akan menerima anugerah daripada Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sendiri pada majlis yang bakal diadakan 21 November ini.

    Antara panel juri bagi anugerah tersebut tahun ini ialah Pengarah Institut Pengupayaan Wanita bagi Pergerakan Negara-negara Berkecuali NAM (NIEW), Tan Sri Rafiah Salim; Perunding WIM, Puan Sri T.D Ampikaipakan; Presiden Kechara Soup Kitchen, Datuk Ruby Khong dan Presiden Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak dan Pendidikan Malaysia, Datin Radziah Mohd. Daud.

    Pencalonan anugerah ini akan ditutup pada 30 September ini manakala borang pencalonan boleh dimuat turun menerusi laman web www.wimnet.org.my.

    Hetty kini usahawan perabot

    Posted: 05 Sep 2011 06:28 PM PDT


    ANTARA jenis kayu untuk dibuat perabot yang terdapat di bengkel perabot TBL Furniture yang diusahakan Hetty Koes Endang.


    KECERIAAN Hetty Koes Endang masih tidak berubah seperti mana di awal perkenalan dengannya lebih sedekad lalu.

    Keramahannya akan mudah membuatkan sesiapa sahaja tidak segan dan kekok untuk bercerita dan berbual panjang lebar.

    Inilah yang terjadi saat Hits diundang ke kediamannya di Bandar Serpong Damai (BSD), Jakarta baru-baru ini.

    "Sudah lama kita tidak ketemu ya. Tahu-tahu saja kamu sudah berpindah ke sini (Jakarta)," katanya menyapa penulis.

    Sementara menanti waktu berbuka puasa, kesempatan diambil untuk menemuramah beliau.

    Selepas sekian lama menyepi, Hetty bersama suaminya, Dr. Yusuf Erwin Faisal sebetulnya sudah meneroka bidang baru.

    Pasangan suami isteri itu kini mengusahakan perniagaan perabot sejak setahun lalu.

    "Inilah dunia baru saya. Jika tiada sebarang undangan mengadakan persembahan saya akan memberi tumpuan pada perniagaan ini.

    "Bisnes yang saya jalankan ini memberikan saya pengalaman baru. Kalau dulu saya hanya tahu menyanyi tetapi sekarang saya harus bijak menjual produk pula," katanya sambil ketawa.

    Kebetulan berada di kediamannya, Hetty membawa Hits meninjau bengkel tempat perabot-perabot yang beliau dan suami usahakan.

    Bengkel Perabot TBL diusahakan di kediaman pasangan itu sendiri di BSD Tangerang Selatan.

    Pelbagai perabot daripada jenis dijual Hetty dengan ukuran yang pelbagai saiz turut ditawarkan kepada mereka yang berminat.

    Kepada Hetty, perniagaan itu diasaskan oleh beliau dan suaminya sebagai jaminan masa depan untuk anak-anak mereka, Ameer Mahmed dan Afifah Qamariah.

    "Saya tidak berniat untuk memaksa anak-anak aktif dalam bidang perniagaan. Sebaliknya, bisnes ini merupakan satu jaminan untuk mereka dalam menghadapi masa depan.

    "Bahkan, bisnes yang kami jalankan ini juga merupakan ruang untuk saya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kerana kami sama-sama memberi fokus dan tumpuan pada perkembangan bisnes ini," jelasnya sambil memberitahu kedua-dua anaknya turut serta membangunkan perniagaan perabot itu.

    Kepada yang berminat untuk mendapatkan perabot-perabot yang ditawarkan di TBL Furniture, anda boleh mengirimkan e-mel ke asaatari@yahoo.com.

    Pengurusan Hetty bersedia melayani sebarang pertanyaan daripada mereka yang mahu mendapatkan bekalan dalam kuantiti yang banyak.

    "Kami juga mahu meneroka pasaran Malaysia kerana saya difahamkan ramai orang di Malaysia yang gemarkan perabot seperti ini.

    "Mudah-mudahan selepas ini perniagaan boleh diadakan di sana pula, Insya-Allah," katanya sambil mempelawa mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi ejen di Malaysia boleh menghubunginya menerusi alamat e-mel berkenaan.

    Jaipur National University buka cawangan di Perak

    Posted: 05 Sep 2011 06:25 PM PDT


    Zambry Abd. Kadir menyaksikan majlis pertukaran dokumen di antara Abdul Rashid Ghani (kiri) dengan Sandeep Bakshi pada majlis menandatangani perjanjian di antara Perak Educity dengan Jaipur National University di Ipoh, semalam.


    IPOH 5 Sept. - Konsep pembangunan Perak Educity di bawah pelan Perak Amanjaya berada di landasan tepat apabila sebuah lagi universiti luar negara, Jaipur National University bakal membuka kampus cawangan antarabangsa pertamanya di luar India bernilai RM148 juta pada tahun depan.

    Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kampus sementara universiti berkenaan yang dijangka mula beroperasi pada Julai depan itu juga selaras dengan hasrat kerajaan dalam merealisasikan pembangunan negeri berasaskan pengetahuan menjelang 2020.

    "Kita masih lagi berbincang dengan pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi menentukan tapak lokasi pembangunan kampus berkenaan.

    "Antara kawasan dikenal pasti termasuk kawasan segitiga pendidikan Perak iaitu di Ipoh-Kampar-Seri Iskandar, Gopeng, Tanjung Malim, Tapah serta di Wilayah Ekonomi Koridor Utara ," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) antara Perak Educity diwakili Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Ghani dan Jaipur National University, India yang diwakili Pengerusi Lembaga Pengurusannya di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

    Pada majlis tersebut, Zambry menyaksikan perjanjian yang ditandatangani oleh Pengarah Perak Educity, Abd. Latif Abd. Ghani bersama Canselor Jaipur National University, Sandeep Bakshi.

    Dalam pada itu, Sandeep berkata, pihaknya berhasrat untuk menawarkan peluang pendidikan dan pekerjaan terutamanya dalam bidang kejuruteraan, hospitaliti, bioteknologi, sains hayat termasuk kejururawatan.

    Menurut beliau, bidang-bidang tersebut dipilih kerana ia mempunyai permintaan keperluan sumber manusia yang tinggi selain Malaysia merupakan antara tiga syarikat penting dalam kemudahan infrastruktur di India.

    "Kita menjangkakan kemasukan pelajar antara 100 ke 1,000 orang termasuk dari luar negara untuk pendaftaran pertama. Selain itu, kita juga akan menganjurkan program pertukaran pelajar pada setiap semester untuk manfaat bersama kedua-dua buah negara," katanya.

    Saringan kesihatan elak penyakit kronik

    Posted: 05 Sep 2011 06:23 PM PDT


    Dr. Haniza Abdul Jalil menyarankan agar saringan kesihatan dibuat secara berkala.


    SARINGAN kesihatan adalah kaedah perubatan pencegahan terkini yang menjadi perhatian kebanyakan masyarakat global.

    Ia bertujuan untuk mengesan penyakit lebih awal dan mendapatkan rawatan yang sesuai di peringkat awal sebelum ia menjadi kronik.

    Sekarang ini, masyarakat bukan lagi menunggu datangnya penyakit untuk mencari rawatan. Malah sebelum timbulnya simptom saringan kesihatan mampu memberi maklumat sebelum terbentuknya penyakit tersebut.

    Oleh itu, saringan kesihatan amat penting kerana lebih awal kita mendapat diagnosis yang tepat, maka lebih berjaya untuk menangani sesuatu penyakit itu sebaik mungkin.

    Sebagai contoh, serangan jantung merupakan penyakit yang makin menular dalam masyarakat.

    Sebanyak 50 peratus kes penyakit jantung hanya diketahui setelah mendapat serangan yang pertama dan seterusnya menyebabkan kematian mengejut akibat kegagalan fungsi jantung.

    Situasi itu dapat dicegah sekiranya pesakit melakukan saringan kesihatan yang lebih awal.

    Menurut Pakar Radiologi, Pusat Perubatan Iheal, Kuala Lumpur, Dr. Haniza Abdul Jalil, saringan kesihatan membolehkan seseorang itu mencegah penyakit kronik lebih awal.

    Dari situ mereka boleh mendapatkan rawatan yang sesuai di peringkat awal sebelum ia menjadi kronik dan menyebabkan kematian.

    Tambah beliau, saringan kesihatan lengkap terdiri daripada pelbagai aspek dengan pemeriksaan klinikal oleh pakar perubatan.

    Ujian-ujian yang asas termasuk ujian darah dan parameter-parameter yang tertentu seperti tahap gula/kolesterol, tekanan darah, ECG dan lain-lain.

    "Masa kini, terdapat banyak pakej-pakej saringan kesihatan yang menyeluruh dengan melaksanakan ujian-ujian tertentu termasuk pengimejan diagnostik.

    "Pengimejan diagnostik merangkumi imbasan seperti x-ray, mesin ultrasound, mamogram, pengimbas CT serta MRI.

    "Ia adalah langkah yang tidak bahaya cuma menggunakan imej imbasan untuk mengetahui apakah penyakit dalaman tanpa membedah buka badan seseorang," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Katanya, secara tidak langsung ia merupakan satu cara di mana saringan kesihatan mampu memberi maklumat mengenai dalaman seseorang itu.

    Berbicara lanjut mengenai saringan kesihatan, menurut Dr. Haniza, kini di Pusat Perubatan Iheal, mereka menggunakan mesin pengimbas CT yang terkini iaitu pengimbas CT 640 hirisan untuk imbasan spesifik mengikut penyakit setiap pesakit.

    Mesin ini merupakan yang pertama dan satu-satunya seumpamanya di Malaysia dan ia berupaya memberi imbasan yang tepat, tangkas dan mengurangkan dos dedahan radiasi ke aras yang minimum.

    Kelebihan itu tidak dapat ditandingi oleh mesin pengimbas CT yang lain.

    Ulas Dr. Haniza, mesin tersebut setanding dengan yang terdapat di negara-negara maju dan kini rakyat Malaysia juga boleh mendapatkan diagnosis dengan dos sinaran yang rendah.

    Apabila bercakap mengenai imbasan CT, umum pastinya takut terdedah dengan radiasi.

    Bagaimanapun, jelas Dr. Haniza, pengimbas CT 640 membolehkan dos radiasi menjadi amat rendah apabila imbasan dilakukan dengan cukup pantas, secepat 1/3 saat.

    Ini bermakna dalam sekelip mata imbasan itu siap. Dengan kepantasan itu pendedahan pada radiasi amat singkat dan dos radiasi juga menjadi amat rendah.

    Selain itu menurut, Dr. Haniza, CT640 berupaya mengimbas dalam satu putaran dan dapat memberi satu gambaran sesuatu organ dengan jelas dan amat tepat.

    "Contohnya, CT koronari arteri di mana saluran darah kepada jantung dapat dianalisis dengan dos serendah 1-2 msv sahaja. Pesakit jantung berupaya mendapatkan diagnosis yang tepat dan pesakit juga didaftar sebagai pesakit luar tanpa perlu dimasukan ke hospital dan tidak invasif.

    "Keputusan ujian akan terus diberi kepada pesakit pada hari yang sama. Selain untuk saringan jantung, mesin ini mempunyai keupayaan untuk melihat perfusi otak yang merangkumi keseluruhan otak dalam satu ujian.

    "Dengan mesin pengimbas CT 640 ini, kesemua ujian seperti CT arteri otak, CT vena otak dan CT perfusi otak dapat dilaksanakan serentak dengan dos radiasi yang rendah dan inilah kelebihan lain yang terdapat pada mesin pengimbas ini,'' katanya.

    Sebilangan masyarakat hari ini akan bertanya, adakah radiasi boleh menyebabkan kanser?

    Jelas Dr. Haniza, dos radiasi yang rendah yang digunakan dalam pengimejan diagnostik adalah amat rendah untuk dikaitkan dengan risiko kanser.

    Malah katanya, jika dibandingkan dengan risiko-risiko relatif, penghisap rokok mempunyai risiko kanser yang jauh lebih tinggi.

    Dengan itu harus sedar ketakutan terhadap radiasi dibandingkan dengan faedah mengetahui diagnosis yang mampu mencegah penyakit merupakan perspektif yang harus diatasi.

    Dr. Haniza turut merumuskan, saringan kesihatan yang dilaksanakan dengan dos sinaran paling rendah lebih mendatangkan faedah kerana ia dapat mengesan penyakit lebih awal dan dapat diberi rawatan sebelum ia terlewat.

    Debaran Aznil

    Posted: 05 Sep 2011 06:23 PM PDT




    SEDARI awal ditawarkan watak antagonis dalam teater The Secret Life of Nora (Nora) yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Aznil Nawawi tidak dapat membayangkan bagaimanakah acuan watak tersebut seperti mana yang dikehendaki.

    Puas juga dia mencari dan cuba mencari rentak sendiri agar watak Mr. J itu tidak menjadi klise dan mempunyai identiti diri Aznil sendiri.

    Malah, Aznil juga tidak mampu menyembunyikan kebimbangan apabila ada pihak cuba menyamakan Mr. J dengan watak Profesor Klon yang pernah dibawakannya dalam dua filem Cicak-Man.

    "Sekarang, barulah saya mendapat gambaran jelas tentang siapakah Mr. J yang sebenarnya. Selepas menjalani beberapa siri latihan dan mendalami skripnya. Apa yang boleh saya katakan di sini, Mr. J adalah watak antagonis yang berbeza.

    "Saya perlu memahami dunia Mr. J yang penuh dengan ceritanya sendiri. Semuanya bersebab mengapa dia boleh bertindak di luar kawalan sehingga menjadi taksub kepada Nora.

    "Kehidupannya memang menyedihkan apabila sewaktu kecil dia telah disisihkan oleh kawan-kawan kerana mempunyai wajah yang buruk.

    "Daripada situ dia mula menyimpan dendam dan berusaha mahu menjadikan Nora milik mutlaknya," cerita Aznil yang memang cukup teruja untuk membawakan watak Mr. J dalam pementasan ini.

    Terbuka

    Atas alasan tersebut, anak jati Kuala Lumpur itu mengharapkan peminat yang akan datang menonton pementasan Nora dengan minda yang terbuka.

    Usahlah dibandingkan dirinya dengan mana-mana watak antagonis kerana kata Aznil, dia mahu mencipta watak tersebut mengikut caranya sendiri.

    Apabila memperkatakan tentang Nora, Aznil sendiri masih lagi merasakan dirinya terapung di awangan kerana tidak percaya dapat melibatkan diri dalam pementasan mega itu.

    Sebelum ini, Aznil hanya mampu bermimpi agar satu hari nanti dia dapat melibatkan diri dalam mana-mana produksi terbitan Enfiniti Vision Media (EVM) waima watak kecil sekalipun.

    Kini impiannya sudah terlaksana dan tiada lain yang dapat diucapkannya melainkan bersyukur dengan peluang keemasan itu.

    Seperkara yang menjadi kebimbangan Aznil sewaktu mula-mula ditawarkan watak tersebut apabila memikirkan dia perlu menari.

    Menyedari tarian bukanlah kemahirannya, namun, demi Nora, Aznil sanggup menyahut cabaran itu dan dia bertuah kerana mendapat bimbingan daripada Pat Ibrahim.

    Begitu juga menyanyi, di mana Aznil perlu mengasah vokalnya memandangkan dia mempunyai sebuah lagu solo, Kau dan Aku untuk pementasan itu.

    "Tetapi, soal itu (menari) adalah perkara kecil kerana apa yang lebih diutamakan sekarang adalah skrip dan pembentukan watak Mr. J itu terlebih dahulu.

    "Selepas segalanya sudah berada dalam acuannya, barulah saya fokuskan pada tarian pula," kata Aznil yang tidak dapat bercuti lama pada Syawal kali ini lantaran komitmen untuk Nora.

    Bukan hanya tarian yang menjadi kegusaran Aznil tetapi apabila dia perlu menghafal skrip yang panjang membuatkan Aznil perlu bekerja keras dalam menghidupkan watak Mr. J.

    Aznil mengakui kekurangannya apabila dia tidak mampu untuk menghafal skrip dengan baik tetapi berkat usahanya, segala kelemahan itu dapat diatasi perlahan-lahan.

    "Steven juga memberi kebebasan kepada kami untuk mewarnakan lagi watak masing-masing. Dia menerima segala idea yang dibentangkan. Itu membuatkan saya selesa dan berbangga dapat bekerja dengannya," kata bekas pengacara Akademi Fantasia itu tanpa berselindung.

    Buang rasa malu

    Bercerita tentang keserasiannya dengan Tiara, personaliti pujaan ramai ini hanya mampu ketawa kecil sebelum memberikan jawapannya.

    Dengan penuh luhur, Aznil memberitahu dia cukup berdebar apabila berlakon di samping Tiara terutama melibatkan babak-babak dia perlu mengungkapkan kata cinta kepada Nora.

    Mana tidaknya. Ada ketika kata Aznil, suami Tiara akan hadir menonton latihan dan sudah pasti perasaan kekok itu akan menerjah serta-merta lalu membuatkan Aznil menjadi segan.

    "Itu pada mulanya tetapi selepas kami sudah tahu watak masing-masing, kami perlu fokus dan melupakan apa sahaja perkara yang cuba menjadi halangan.

    "Saya mahu melakukan yang terbaik untuk pementasan ini kerana peluang ini tidak akan datang sekali lagi.

    "Adalah lebih menyedihkan buat saya sekiranya lakonan saya tidak dapat mencapai piawaian kerana sudah pasti saya akan mengecewakan Tiara dan EVM.

    "Saya tidak kisah berkorban waktu saya demi NORA," kata Aznil bersungguh.

    Segalanya baru buat Tiara

    Posted: 05 Sep 2011 06:21 PM PDT




    HANYA tinggal beberapa minggu sahaja lagi, tirai pementasan The Secret Life of Nora (Nora) akan dibuka di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

    Ketika ini jugalah, gelodak hati wanita ini bercampur-baur. Teruja dan dalam masa yang sama dia cukup berdebar bagaikan menanti kelahiran bayi sulungnya.

    Meskipun pentas teater bukanlah asing bagi Datin Seri Tiara Jacquelina, namun apabila membicarakan tentang Nora, serta-merta dia menjadi seram sejuk.

    "Perasaan kali ini cukup berbeza. Bagi saya Nora ibarat permulaan segala-galanya buat saya. Meskipun sudah mementaskan dua teater muzikal sebelum ini, tetapi Nora benar-benar buat saya bimbang.

    "Kebimbangan saya itu dari pelbagai aspek terutama sekali untuk mencapai kepuasan peminat yang dari awal lagi telah meletakkan harapan yang cukup tinggi.

    "Saya bersyukur kerana Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM) dan P. Ramlee the Musical (PRtM) diterima baik sebelum ini sehingga berjaya membuka lembaran baru industri seni tempatan.

    "Kerana itulah, saya dan seluruh pasukan Nora kini bertungkus-lumus bagi memastikan pementasan ini berjaya dan membawa ia setapak langkah lagi untuk menuju ke tahap lebih tinggi," luah Tiara penuh jujur dalam sesi fotografi eksklusif yang berlangsung di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Untuk sesi fotografi ini, Tiara tidak keseorangan sebaliknya ditemani dua lagi pelakon Nora iaitu pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi dan penyanyi bersuara mantap, Adibah Noor.

    Sememangnya cita-cita Tiara cukup tinggi dan sebagai penerbit serta pelakon utama Nora, dia begitu mengharapkan ia dapat diterima dengan baik oleh pencinta teater tempatan.

    Atas alasan itu kata Tiara, semua pihak yang terlibat dalam pementasan itu sanggup berkorban cuti raya mereka semata-mata mahu menumpukan perhatian yang lebih untuk Nora.

    Malah, sepanjang Ramadan lalu juga, mereka gigih berlatih untuk mencari rentak dalam watak masing-masing sebelum memulakan latihan intensif di IB kelak.

    Bagi Tiara yang mula dikenali menerusi filem Mat Som (1990), melakonkan watak Nora, seorang primadona yang disanjung pada tahun 60-an bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakonkan.

    Jika hendak dibandingkan dengan watak Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumillah yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya selama tujuh tahun, untuk Nora, Tiara perlu bermula dari bawah.

    Tiara juga mengakui di awalnya, dia telah berusaha untuk mencari watak Nora yang begitu samar pada pandangannya. Puas dia mencari tetapi dia belum mendapat gambaran kehidupannya yang sebenar.

    "Selepas berbincang dengan Steven dan membaca skripnya sekali lagi, barulah saya dapat menyelami kehidupan Nora yang bersifat dua dimensi.

    "Dari segi luaran, Nora merupakan seorang primadona yang menjadi pujaan ramai orang. Dia begitu gah di atas pentas tetapi rupa-rupanya hidupnya cukup sunyi.

    "Teman setianya hanyalah Khatijah (Adibah) dan dia terlalu bergantung harap kepada pembantunya itu. Hanya selepas dia bertemu dengan Roger (Ryan Silverman), baru dia tahu rupa-rupanya dia memiliki kekuatan yang dia sendiri tidak sedar selama ini.

    "Dia kembali menggapai kekuatan dan keyakinan dirinya selepas dia berjaya membantu wanita-wanita yang menjadi mangsa perdagangan manusia oleh penjahat bernama Mr. J (Aznil)," cerita pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-12 (1995) menerusi filem Ringgit Kasorrga ini penuh bersungguh.

    Tiara melahirkan rasa bangga dan puas hati yang tidak terhingga kerana berjaya mendapatkan khidmat Steven selaku pengarah Nora.

    Sanggup melaburkan wang yang cukup tinggi kerana mahu memberikan kelainan dalam pementasan terbitan Enfiniti Vision Media (EVM) itu, Tiara merasakan kehadiran Steven tepat pada waktunya.

    Sepanjang menjalani latihan dengan pengarah yang cukup terkenal di West End, London itu, banyak pengalaman baru yang diperolehinya termasuk krew produksi.

    "Saya memilih Steven kerana mahu semua pihak mempelajari sesuatu yang baru daripada orang yang berpengalaman sepertinya.

    "Alhamdulillah, saya gembira apabila melihat semua yang terlibat begitu seronok dapat bekerja dengan Steven terutama Chedd Eddie Yusof yang terpaksa melepaskan keinginannya untuk berlakon dalam pementasan ini.

    "Begitu juga dengan pereka tari, Pat Ibrahim yang saya lihat telah memperolehi input baru yang saya percaya sentuhannya untuk Nora akan memberikan magis luar biasa," kata Tiara yang juga pernah dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-50 menerusi filem Puteri Gunung Ledang (2005) ini lagi.

    Ketika ditanya tentang keserasiannya dengan Aznil dan Adibah, Tiara hanya mampu menghela nafas panjang sambil menggelengkan kepalanya.

    Tanpa menunggu lama, isteri kepada Datuk Seri Effendi Norwawi ini memuji komitmen kedua-dua personaliti popular untuk Nora.

    Mengambil contoh Aznil, Tiara cukup kagum dengan disiplin dan semangat pengacara hebat itu yang gigih berusaha dalam menghidupkan watak Mr. J.

    "Memang Aznil teman lama saya tetapi kami belum pernah bekerjasama sebelum ini. Sesungguhnya Nora telah menemukan kami di satu pentas yang sama.

    "Selepas beberapa lama dia bersama kami, saya boleh katakan dia adalah yang terbaik dan sentiasa tampil dengan idea baru setiap kali hadir untuk latihan.

    "Begitu juga dengan Adibah yang telah menunjukkan dedikasinya untuk pementasan ini. Mereka wajar dijadikan contoh oleh karyawan generasi muda hari ini jika mahu bertahan lama di dalam industri.

    "Ternyata pemilihan Aznil dan Adibah untuk Nora adalah bertepatan sekali," kata ibu kepada sepasang cahaya mata itu tersenyum.

    Bukan komedi kosong

    Posted: 05 Sep 2011 06:20 PM PDT




    APABILA ditawarkan untuk membintangi The Secret Life of Nora (Nora), Adibah Noor tidak mempunyai alasan untuk menolak tawaran berkenaan.

    Apatah lagi mengenangkan persahabatan yang terjalin sekian lama dengan Tiara, penglibatan Adibah dalam pementasan itu boleh diibaratkan sebagai membalas jasa dan budi temannya itu.

    Kata Adibah, jika bukan kerana Tiara yang mula-mula membuka jalan untuknya mencari rezeki dalam bidang seni, mana mungkin untuk Adibah terus bertahan di dalam industri.

    "Tiara merupakan salah seorang individu yang memainkan peranan cukup penting dalam karier seni saya. Jika bukan kerana dia, saya rasa saya mungkin tidak akan dikenali sehingga ke hari ini.

    "Kerana itulah apabila dia sendiri menawarkan watak Khatijah kepada saya, ia benar-benar membuatkan saya terharu.

    "Lebih-lebih lagi Tiara yang menilai persembahan saya sewaktu sesi uji bakat. Jadi, saya fikir saya perlu menerima tawaran ini tanpa ragu," kata Adibah penuh jujur.

    Menyambung bicara tentang peranannya sebagai Khatijah yang bertindak sebagai pengawal peribadi dan orang yang paling dekat dengan Nora, Adibah menyifatkan watak tersebut ada warnanya sendiri.

    Apatah lagi selepas menjalani latihan bersama Steven dan barisan pelakon yang lain, Adibah sudah mula mendapat jiwa Khatijah meskipun watak tersebut bukanlah yang utama.

    Sekadar mengusik Adibah, apakah watak Khatijah itu sendiri mempunyai persamaan dengan dirinya memandangkan dia adalah pengawal peribadi Nora, penyanyi yang cukup ramah ini hanya mampu ketawa besar.

    "Saya tidak pernah terfikir pun tentang perkara itu. Ironinya, sewaktu zaman sekolah, saya sering melindungi kawan-kawan saya daripada diganggu oleh budak-budak nakal.

    "Jadi apabila mereka melihat saya sentiasa bersama dengan budak-budak lain, mereka yang suka mengusik ini tadi dengan pantas berasa takut," jawabnya disambut dengan derai tawa yang berpanjangan.

    Cukup mengagumi prestasi kerja Enfiniti Vision Media (EVM) menerusi pementasan Muzikal Puteri Gunung Lenag (PGLtM) dan Muzikal P. Ramlee (PRtM) sebelum ini, Adibah juga seperti pelakon lain juga memasang impian untuk bekerja dengan produksi hebat itu.

    Katanya, apabila menonton dua pementasan mega sebelum ini, Adibah tidak dapat menyembunyikan keinginannya untuk beraksi dalam mana-mana produksi EVM selepas itu.

    "Saya berkata alangkah seronoknya kalau dapat memegang watak walaupun hanya sokongan dalam produksi mereka.

    "Alhamdulillah, ia termakbul dan saya begitu teruja dengan pementasan ini yang saya sifatkan sebagai sesuatu yang di luar imaginasi manusia," jelas pelantun lagu Terlalu Istimewa itu bersungguh-sungguh.

    Apatah lagi dapat bekerjasama dengan pengarah handalan seperti Steven, Adibah menyifatkannya sebagai peluang keemasan untuk memperolehi pengalaman yang dapat dikenang selama-lamanya.

    Katanya, dia cukup kagum dengan pemikiran Steven yang sudah dapat membayangkan apa yang digambarkan di dalam fikirannya untuk pementasan ini.

    Hanya daripada bayangan di mindanya itu, dengan pantas dia mampu merealisasikan di atas pentas dengan kedudukan yang begitu sempurna.

    "Pemikirannya boleh dikatakan sealiran dengan semua pelakon dan kreativitinya ada kala di luar jangkaan kami semua.

    "Memang cukup seronok bekerja dengan Steven, Tiara dan semua krew Nora. Apa yang saya harapkan semuanya akan kelihatan sempurna apabila Nora membuka tirainya nanti," ujar pemilik nama penuh Adibah Noor Mohamed Omar ini penuh harapan.

    Kejutan yang pasti membuatkan penonton berasa teruja menantikan Nora apabila Adibah dikatakan akan melakukan aksi terbang untuk salah satu babak.

    Sambil ketawa, Adibah menjelaskan dia kurang pasti dengan babak itu walaupun ia tertulis di dalam skrip.

    "Saya tidak kisah untuk melakukan aksi terbang itu cuma saya bimbang seandainya tiang-tiang di dalam Panggung Sari itu tidak dapat menampung berat badan saya nanti," kata Adibah berseloroh.

    Dalam masa yang sama, penyanyi yang memiliki dua buah album, Terlalu Istimewa dan Teman ini mengharapkan penonton akan menonton Nora dengan minda yang terbuka.

    Jauh di sudut hatinya juga, dia mengharapkan penonton tidak akan sesekali membuat perbandingan antara watak Khatijah dan Farah yang pernah dibawakannya dalam pementasan Cuci the Musical musim pertama.

    Walaupun Nora memiliki elemen komedi, Adibah memberi jaminan ia bukan sekadar komedi kosong.

    "Beri saya peluang untuk membuktikan bakat saya bahawa bukan hanya watak komedi yang mampu saya bawa. Mungkin ada benarnya apabila orang melihat karakter saya dalam filem tidak ubah seperti personaliti diri saya sendiri.

    "Datang sendiri menonton pementasan ini dan saya bukan sekadar mahu memuji melangit hanya kerana saya turut membintangi Nora.

    "Tetapi nilai produksi teater muzikal ini sangat tinggi dan saya boleh katakan ia adalah bertaraf dunia," katanya.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    0 ulasan:

    Catat Ulasan